Bulan Ramadhan adalah suatu bulan yang dipenuhi rahmat
dan barakah dari Allah ta’ala. Pada bulan ini, doa dan taubat kita amat mudah
diterima oleh Allah. Sesiapa yang beribadah kepada-Nya akan berlipat kali ganda
pahala berbanding pahala ibadah pada bulan-bulan yang lain.
Para malaikat sangat mengasihi orang yang berpuasa dan
membanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadhan. Allah telah menciptakan satu
malaikat yang sujud sehingga hari kiamat. Dalam sujudnya, malaikat itu berdoa:
“Ya Allah, kasihanilah umat Muhammad (S.A.W). Janganlah Engkau seksa
orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan”
Selain kelebihan dan keistimewaan yang sangat banyak,
bulan ramadhan juga terkenal dengan satu malam daripada malam-malam yang lain
pada bulan al-Mubarak itu iaitulah Lailatulqadar. Sesiapa yang melakukan ibadah
pada malam tersebut akan beroleh ganjaran seperti beribadah selama 1000 bulan
(bersamaan 83 tahun)!
Pada waktu Lailatulqadar, para malaikan yang dipimpin
oleh Malaikat Jibril a.s. akan turun ke dunia. Mereka akan mendoakan kebaikan
utk umat islam yang beriman.
Oleh sebab itu, perbanyakkanlah amalan seperti
berzikir, berselawat, bersembanhyang sunat, membaca al-Quran dan berdoa kepada
Allah ta’ala. Mintalah apa sahaja kepada-Nya. Doa orang yang beriman pada bulan
Ramadhan mudah-mudahan turut diaminkan oleh para malaikat. Ada doa khusus yang
elok dijadikan amalan pada setiap malam Ramadhan:
اللهمّ انّك عفوّ تحبّ العفوَ فاعْف عنّي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha
pengampun, Engkau suka memberi keampunan, maka ampunkanlah daku”
Amalan-amalan ini perlu dilakukan pada setiap malam
kerana kita tidak tahu malam yang mana satukah dipilih oleh Allah sebagai
Lailatulqadar. Alangkah bertuahnya sekiranya ibadah-ibadah yang kita lakukan
itu bertepatan dengan Lailatulqadar. Pahalanya sudah tentu berlipat-lipat kali
ganda.
Pada malam Ramadhan yang terakhir, seluruh penghuni
langit dan para malaikat akan menangis. Mereka berasa sedih dan terharu kerana
terpaksa berpisah dengan bulan yang sangat istimewa ini. Sudah tentu
keistimewaannya itu tidak akan diperoleh pada bulan-bulan yang lain.